CINTA KERANA ALLAH

Saturday, May 14, 2011

Cintailah Allah kerana nikmat yang dianugerahkan kepada kamu, cintailah aku kerana cinta kamu kepada-Nya. (HR. Tirmidzi dan Al-Hakim)
Agama Islam adalah agama percintaan dan kasih sayang. Firman Allah :

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.(Ar-Rum ; 21)

Apabila dua insan bercinta, ada yang sayang menyayang kerana “cinta berahi” yang wujud di antara mereka. Cinta berahi yang sampai ke jinjang pelamin akan terselamat dari gangguan syaitan. Cinta berahi yang tercemar dengan hasutan syaitan akan berakhir dengan keterlanjuran.

Di dalam keadaan lain, ada yang sayang menyayang kerana Allah. Bercinta sesama makhluk kerana Allah adalah lebih selamat. Ia tidak melukakan hati, tidak meresahkan jiwa, tidak merosakkan akhlak, tidak perlu risau tentang “frust”, tidak perlu melayan perasaan cemburu. Menurut Rasulullah, menyayangi seseorang kerana Allah dapat mendatangkan kemanisan iman. Namun, tidak ramai yang mengetahui caranya.

Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kecintaan seseorang yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana dzatnya (sifatnya), sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.

Menurut beliau lagi, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita soleh supaya terpelihara dari gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya, supaya memperolehi anak-anak yang soleh dari wanita itu dan seterusnya anak-anak itu mendoakan untuknya. Lalu apabila lelaki berkenaan mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana Allah. Perkara ini dinukilankan oleh Al-Ghazali lebih kurang 1000 tahun yang lalu.

Selepas ini, apabila anda mencari cinta, carilah cinta yang wujud kerana Allah. Apabila anda menemui cinta, tanya diri sendiri kenapa anda mencintainya? Apakah kaitan cinta itu dengan akhirat anda?

0 comments: