DOA MEMULAKAN TUGAS

Thursday, May 26, 2011
Salam..Mulakan hari kamu dengan doa ini sebelum memulakan sebarang pekerjaan..samada di pejabat di sekolah atau di mana saja..Semoga kita semua sentiasa di bawah perlindungan Yang Maha Esa..InsyAllah..

“ Ya Allah ! Ya Tuhan kami, 
Pada hari ini, kami menadah tangan memohon restu perkenan 
daripadaMu, jadikanlah hari ini hari kebaikan bagi kami, hari 
kesinambungan untuk kami mengejar dan memperjuangkan cita-cita murni 
kami.”  

“ Sesungguhnya Ya Allah!, jadikanlah hari ini hari bagi kami mengorak 
langkah, berhijrah dari sudut yang baik kepada yang lebih baik, dari 
insan yang lemah kepada insan yang kamil dan dari tingkah laku yang 
kurang baik kepada yang baik dan daripada tingkah laku yang baik 
kepada yang lebih baik.”  

“ Ya Allah! Engkau jadikanlah segala tugas yang telah dan yang akan 
kami laksanakan sebagai suatu ibadah kepada Mu jua. 
Kami bersyukur ke hadratMu Ya Allah!, kerana diberi masa untuk terus 
hidup, menerokai alam yang penuh dengan khazanah yang engkau ciptakan 
untuk kami memikir dan mengambil ikhtibar di atas KeagunganMu. 
Jadikanlah penghidupan kami ini sebagai suatu penghidupan yang penuh 
keimanan dan ketakwaan kepadaMu Ya Allah.”

“ Ya Allah ! Ya Rohman! Ya Rohim! 
Engkau satukanlah hati-hati kami, agar kami dapat bekerja dengan jiwa 
yang bersatu-padu, hormat menghormati serta percaya mempercayai, 
berikanlah kami kekuatan tenaga dan akal fikiran juga kesabaran dalam 
menghadapi segala cabaran dan dugaan, pimpinkanlah kami agar kami 
tahu mensyukuri nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami, juga 
pimpinkanlah kami ke atas melakukan perbuatan-perbuatan baik dan 
usaha-usaha yang murni yang Engkau redai serta masukkanlah kami ke 
dalam lingkungan hamba-hambaMu yang solihin iaitu dengan rahmatMu 
jua Ya Allah!”  

“ Ya Allah Ya Robbul Alamin ! 
Perkenankanlah kami untuk menuju ke arah petunjuk Engkau dan 
peliharalah kami daripada perkara-perkara yang menyebabkan kebodohan 
dan kerosakan diri kami sendiri, selamatkanlah kami daripada sifat- 
sifat keburukan hawa nafsu kerana ia adalah sejahat-jahat musuh. 
Lindungilah kami daripada kesesatan hati , kelalaian, kepapaan , 
kehinaan, kemalasan, beban hutang, kemiskinan dan segala sifat- 
sifat yang tidak Engkau redai seperti sifat lara yang sia-sia dan 
membuang masa.”  

“ Ya Allah!, Engkau perbaikilah kami di atas urusan agama kami yang 
menjadi sandaran segala urusan kami, engkau perbaikilah dunia kami 
yang menjadi tempat penghidupan kami, perbaikilah akhirat kami di 
mana kami akan dikembalikan. Ya Allah!, jadikanlah kehidupan kami 
sebagai tambatan setiap kebaikan untuk kami.”  

0 comments: